Bekas Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono menamatkan tempoh pentadbirannya dengan memohon maaf kepada rakyat republik itu atas segala kesilapan yang dilakukan sepanjang 10 tahun beliau jadi ketua negara.

Beliau juga merakamkan terima kasih kepada semua pihak yang mendukung kepimpinannya sepanjang tempoh yang sama.

Katanya, sebagai presiden beliau mahu melakukan yang terbaik untuk rakyat dan negara namun sebagai manusia biasa beliau tidak lepas daripada kelemahan dan kekurangan.

Susilo membuat kenyataan itu melalui beberapa masukan di akaun Twitternya yang diakhiri dengan *SBY*, menandakan masukan itu beliau tulis sendiri dan bukan oleh pegawai media sosialnya.


Susilo sebelum itu memuat naik sekeping foto beliau dan isterinya, Kristiani Herawati tiba di Istana Negara 10 tahun yang lalu. Beliau kemudian memuat naik sekeping lagi foto menandakan masanya mereka suami isteri kembali menjadi rakyat biasa.


Susilo secara rasmi menamatkan dua penggal pentadbirannya pada Isnin. Beliau yang merupakan presiden pertama republik itu yang dipilih secara langsung oleh rakyat digantikan oleh bekas Gabenor Jakarta, Joko Widodo.

Antara tugasan akhir beliau pada Ahad ialah membubarkan kabinet pentadbirannya.


Dalam beberapa siri masukan di Twitter pada Isnin, Susilo merakamkan pula ucapan terima kasih kepada rakyat serta semua pihak yang selama ini memberikan dukungan kepada pentadbirannya.

Katanya, tugas memimpin negara bukanlah satu kerja mudah tetapi beliau sudah melakukan segala upaya untuk memberikan yang terbaik kepada republik itu.


Susilo juga berharap Indonesia di bawah kepimpinan presiden yang baru akan bertambah maju.