Jerman menyertai China dalam mengecam Amerika Syarikat berhubung tindakan negara itu melaksanakan semula sekatan ke atas Iran.

Menteri Luar Jerman Heiko Maas menyifatkan ia satu tindakan yang salah dan menekankan supaya Jerman mempertimbangkan satu perjanjian dengan Kesatuan Eropah (EU) mengenai perkara itu.

Negara itu kini melaksanakan langkah-langkah persediaan untuk memastikan ia dapat meneruskan hubungan perdagangan dengan Iran.

"Kerana itu kami tidak bersetuju dengan tindakan Amerika Syarikat. Kami juga kini dalam proses mengambil langkah berjaga-jaga, susulan pelaksanaan semula sekatan yang berkuatkuasa mulai minggu ini.

"Ini bagi memastikan ekonomi Iran tidak lumpuh sepenuhnya, menyebabkan ketidakstabilan akan memberi kesan kepada kumpulan radikal. Ini adalah perkara terakhir yang kami inginkan," kata Maas.

Jerman berpendapat, sebarang usaha menekan Iran hingga menjejaskan kestabilan republik itu akan memberi ruang kepada kumpulan radikal untuk berkembang.

Ia sekali gus boleh menjejaskan kepentingan Eropah.

Sehingga kini, Jerman dan blok Eropah komited terhadap Perjanjian Nuklear 2015 dengan Iran.

Mereka berpandangan ia satu-satunya kaedah rasional memastikan Iran tidak mengembangkan program nuklearnya bagi tujuan ketenteraan.