Sekolah-sekolah di daerah Montgomery, Maryland, Amerika Syarikat, akan ditutup pada Hari Raya Aidiladha, tahun depan.

Ia disifatkan satu kejayaan besar yang berjaya dicapai oleh komuniti Islam di daerah itu, dalam usaha mereka mendapatkan kesamarataan dari segi layanan yang diterima mereka.

Penduduk Islam di Montgomery sebelum ini melobi cadangan agar salah satu daripada dua perayaan utama umat Islam diisytihar sebagai cuti persekolahan; sama ada Hari Raya Aidilfitri atau Aidiladha.




Enam ahli Lembaga Pendidikan Montgomery telah mengundi bersetuju dengan cadangan tersebut, manakala dua lagi tidak.

Pihak sekolah sebelum ini bertegas bahawa undang-undang sudah menyatakan bahawa sekolah tidak boleh ditutup semata-mata untuk sambutan perayaan agama.

Namun, pengecualian diberi untuk perayaan agama Kristian dan Yahudi memandangkan jumlah ketidakhadiran yang tinggi jika sekolah dibuka.

Hari Raya Aidiladha 2016 dijangka akan disambut pada 11 atau 12 September.