Angka kematian akibat nahas kereta api di India meningkat kepada 142 pada Isnin selepas petugas mencari dan menyelamat bekerja keras sepanjang malam untuk mengeluarkan mangsa.

Harapan agak tipis untuk menemukan mangsa yang terselamat dalam nahas membabitkan tren 14 gerabak yang terbabas daripada landasan di utara India pada Ahad.

"Angka sebenar dijangka lebih tinggi dan semestinya menjadi tugas yang sukar untuk mengenal pasti semua mangsa, terutama jasad yang tidak sempurna keadaannya," kata seorang pegawai kanan kerajaan tempatan kepada AFP.

"Kami tidak mempunyai angka yang tepat untuk mangsa yang cedera buat masa ini. Kerja-kerja menyelamat masih dijalankan," kata Ketua Polis Daerah Zaki Ahmad kepada AFP.

Lebih 2,000 penumpang dipercayai berada di dalam kereta api, walaupun ramai di antara mereka dipercayai tidak mempunyai tiket dan tempat duduk.

"Sukar untuk menyatakan berapa ramai penumpang di dalam kereta api tetapi pastinya lebih daripada 2,000," kata seorang jurucakap rangkaian kereta api serantau.

Orang ramai mula berkumpul di kawasan kejadian pada Isnin dengan harapan menemukan petunjuk terhadap nasib orang yang tersayang.

Nahas berlaku pada kemuncak musim perkahwinan di India, dan dilaporkan sekurang-kurangnya satu konvoi ke majlis perkahwinan berada di dalam kereta api malang tersebut ketika kejadian.

Media tempatan melaporkan beberapa barang persediaan perkahwinan ditemukan, antaranya gaun, barang kemas dan kad jemputan dilihat di lokasi nahas.

Beratus-ratus mangsa yang cedera dirawat di hospital berhampiran.

Kesan retak pada landasan dipercayai menjadi punca kereta api Indore-Patna Express ini terbabas, menyebabkan kesemua gerabak berlanggar di antara satu sama lain.

Rangkaian kereta api di India, antara yang yang terbesar di dunia, masih menjadi pilihan utama perjalanan jarak jauh di negara itu.

Namun pembiayaian yang terabai menyebabkan kemalangan maut kerap berlaku.

Dilaporkan hampir 15,000 orang terbunuh setiap tahun dalam nahas kereta api di India.