Satu serangan bunuh diri berlaku di pejabat agensi berita Afghan Voice di Kabul pada Khamis, turut melibatkan sebuah pusat kebudayaan yang berhampiran, menyaksikan puluhan terbunuh.

Menurut pegawai dan saksi, ramai daripada yang terkorban merupakan pelajar yang sedang menghadiri persidangan.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Nasrat Rahimi berkata, sekurang-kurangnya 40 orang terbunuh dan 30 cedera dalam letupan itu, yang terbaru dalam siri serangan terhadap organisasi media di ibu negara Afghanistan itu.

Saksi dilaporkan berkata, serangan tersebut terjadi semasa satu persidangan mengenai ulang tahun ke-38 pencerobohan Soviet di Afghanistan sedang berlangsung di Pusat Sosial dan Kebudayaan Tabian itu.

Sayed Abbas Hussaini, seorang wartawan di agensi itu berkata, terdapat lebih daripada satu letupan semasa serangan itu, susulan satu ledakan awal di pintu masuk kompleks yang menempatkan dua pejabat itu.

Katanya, seorang wartawan agensi itu turut terbunuh manakala dua cedera.

Serangan itu, yang terbaru dalam siri serangan terhadap media di Afghanistan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, menyusul serangan ke atas sebuah stesen televisyen swasta di Kabul bulan lepas.