Sekurang-kurangnya enam orang termasuk dua pegawai polis terbunuh dan ramai yang cedera dalam dua letupan bom di Bangladesh pada Sabtu berhampiran tempat persembunyian militan Daish, kata polis.

Letupan di daerah timur laut Sylhet itu berlaku sehari selepas seorang pengebom berani mati meletupkan dirinya di pusat pemeriksaan keselamatan berhampiran dengan lapangan terbang utama di negara berkenaan.

"Sekurang-kurangnya enam orang termasuk dua pegawai polis terbunuh dalam dua letupan, satu berhampiran tempat persembunyian dan satu lagi di hadapan bangunan itu," kata jurucakap polis Sylhet, Zedan Al Musa.

Lebih daripada 40 orang cedera dan kritikal termasuk 12 daripadanya adalah anggota polis, katanya.

Daish menerusi laporan agensi berita kumpulan militan itu, Amaq, mengaku bertanggungjawab melakukan pengeboman ke atas pasukan Bangladesh di Sylhet.

Komando tentera telah menyerbu tempat persembunyian itu, yang dimiliki kumpulan militan domestik yang menyokong Daish. Kumpulan itu juga pernah dikaitkan dengan insiden serangan di sebuah kafe pada Julai tahun lalu, yang mengorbankan 22 orang.