Tutup

Berita  | Dunia

"Selamat ulang tahun ke-8, sayangku" - Bekas pemain Arsenal maut kemalangan

"Selamat ulang tahun ke-8, sayangku" - Bekas pemain Arsenal maut kemalangan
Pasangan itu berkahwin pada Jun 2017 dalam upacara di sebuah gereja di Virgen de la Consolacion, Utrera. GAMBAR Instagram / @noelialopezm
ISTERI Jose Antonio Reyes menyentuh hari ramai apabila memuat naik gambar mesra bersama suaminya, lima hari sebelum kematian bekas bintang Arsenal, Real Madrid dan Sepanyol itu.

Reyes terbunuh akibat kemalangan jalan raya kira-kira jam 11.40 pagi waktu tempatan berdekatan Sevilla, pada Sabtu.

Dalam kemaskini tersebut, Noelia Lopez memanggil Reyes "sayang" dan menggambarkan hubungan mereka sebagai segala-galanya.
“Apabila kamu tidak meminta apa-apa dan mereka berikan kamu segalanya. Setiap orang ditakdirkan bersama dengan orang yang disayangi. Selamat ulang tahun ke-8, sayangku,” demikian tulis Noelia dalam entri tersebut.

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

 


Dalam kejadian pada Sabtu, Reyes dilaporkan dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai menjalani latihan.

Namun, kereta jenis Mercedes Brabus S550v yang dipandu Reyes dikatakan terbabas sebelum terbalik lalu terbakar.
Sepupu Reyes, Jonathan Reyes, 23, yang berada di tempat duduk penumpang turut terkorban.

Sementara seorang lagi lelaki dikenali Juan Manual Calderon meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital Virgen del Rocio akibat mengalami 60 peratus kebakaran pada bahagian badan.

Reyes, yang mencipta populariti di Sevilla sebelum berhijrah ke Arsenal diikuti ke Real dan Atletico Madrid, kini bersama kelab divisyen dua Sepanyol, Extremadura.

Pasangan itu berkahwin pada Jun 2017 dalam upacara di sebuah gereja di Virgen de la Consolacion, Utrera.

Hasil perkahwinan tersebut, Reyes dan Noelia dikurniakan tiga cahaya mata.

Tag: Real Madrid, Arsenal, Jose Antonio Reyes, meninggal dunia, Pemain bola sepak, Bintang bola sepak, Jonathan Reyes, Noelia Lopez, kemalangan jalan raya


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.