SELURUH dunia digemparkan dengan tragedi serangan pengganas di Christchurch, New Zealand yang dianggap sebagai satu tindakan yang tidak berperikemanusiaan pada Jumaat.

Lantaran itu, netizen turut meluahkan rasa simpati dan perhatian khususnya di laman media sosial terhadap kejadian yang mengorbankan 50 nyawa tanpa mengira lapisan usia.

Tidak ketinggalan selebriti terkemuka dunia juga berkongsi reaksi dan belas kasihan atas kekejaman pengganas dalam tragedi yang mengejutkan itu.

Antara barisan artis yang berkongsi rasa luluh di entri laman sosial di Twitter ialah Russell Crowe, Arnold Schwarznegger, dan John Legend.

Pemenang anugerah Oscar, Russel Crowe antara selebriti yang terawal meluahkan kekecewaan dan kesedihan yang dirasai oleh ahli keluarga mangsa dalam tragedi Solat Jumaat yang berlaku di bumi kelahirannya sendiri.


Memetik ucapan beliau, kesakitan emosi yang dialami ahli keluarga mangsa tidak akan mudah luntur dalam ingatan namun beliau mengakhiri dengan kata semangat ‘Kia Kaha’ yang bermaksud terus kuat dalam bahasa Maori.

Bagi Arnold Schwarznegger yang terkenal dengan filem Terminator juga tidak melepaskan peluang memberi sokongan terhadap kehilangan yang dialami keluarga mangsa dengan mengatakan seluruh dunia akan bersama dengan mereka.


Penyanyi yang dikenali dengan lagu All of Me, John Legend turut melontarkan reaksi atas kejadian yang berlaku dan menyeru orang ramai untuk bersatu bagi menghalang insiden kejam ini daripada terus berlaku.

Selain itu, terdapat artis terkenal yang lain turut meluahkan rasa simpati dan kebencian terhadap pembunuhan yang berlaku serta memberi kata semangat buat warga di New Zealand.

Sementara itu, diva pop Madonna turut menggunakan pengaruhnya dengan menyampaikan mesej lantang menerusi akaun Instagramnya.

Dalam muat naik berkaitan tragedi itu, penyanyi lagu Vogue itu memilih gambar sekumpulan wanita berhijab yang memegang lilin dalam gelap, bersama kapsyen bermaksud:

"Doa untuk New Zealand. Akhiri keganasan, akhiri rasisme, akhiri ketuanan kulit putih!! Akhiri semua ekstremisme!! Sekarang! Di mana saja.

"Kita tidak boleh menghapuskan semua ekstremis dan sosiopat di dalam dunia , namun kita boleh menjadikannya mustahil untuk membeli senjata api, dan kita boleh pastikan kita tidak melantik ketua negara yang menggalakkan diskriminasi, ketaksuban, kebencian, xenofobia, dan sikap tidak bertoleransi dan semua jenayah kebencian!"

Tragedi yang berlaku turut mendapat perhatian pemimpin dunia termasuk Donald Trump, Barack Obama, Theresa May, Hillary Clinton yang merakamkan takziah.