Banjir yang mula menyurut di negeri-negeri utara Australia seperti Queensland kini membawa ancaman baharu iaitu kehadiran buaya di tempat awam, lapor Reuters.

‘Tetamu yang tak diundang’ itu telah memasuki kawasan bandar dan penduduk mula bimbang apabila semakin banyak gambar tentang reptilia itu dimuat naik ke media sosial.

Keadaan itu semakin ketara selepas beberapa wilayah Australia mengalami hujan lebat tanpa henti selama empat hari, lantas melimpahkan air dari tebing sungai.

Penyelidik buaya dari Zoo Australia di Queensland, Toby Millyard, berkata reptilia berkenaan menggunakan arus banjir untuk bergerak ke kawasan lain untuk mencari makanan.

“Sesetengah buaya suka pada keadaan hujan kerana akan terjadi banyak laluan air baharu yang membolehkannya berhijrah. Buaya adalah haiwan yang bijak.

“Tapi manusia ada cara yang mudah untuk menghindari buaya. Asalkan anda tidak berada di dalam air atau berdiri di tebing sungai, anda selamat,” ujar Millyard.

Pada Ahad pagi, sekumpulan pelajar sekolah dan guru yang terkandas akibat banjir di bandar Tully telah diselamatkan, kata jurucakap Perkhidmatan Kecemasan dan Kebakaran Queensland.

Ketua Menteri Queensland Annastacia Palaszczuk memberitahu media pada Ahad bahawa laporan nilai kemusnahan keseluruhan, terutamanya di ladang pisang dan tebu, hanya akan dapat diperoleh dalam masa beberapa minggu.

Kerajaan negeri Queensland telah mengisytiharkan kawasan terjejas sebagai ‘zon bencana’. Penilaian itu turut dipersetujui pihak insurans yang kini giat memproses pelbagai tuntutan akibat kemusnahan.