Satu kemungkinan untuk menutup operasi destinasi percutian pantai kedua terkemuka di Filipina selepas Boracay, mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan pengusaha industri pelancongan tempatan.

Presiden Rodrigo Duterte sebelum ini pernah mengarahkan agar Pulau Boracay ditutup selama enam bulan pada tahun lalu, atas sebab destinasi peranginan itu sangat tercemar.

Kerja pembersihan semula dan baik pulih sistem pembetungan di Boracay ketika itu telah membuatkan ribuan orang kehilangan kerja, manakala pengusaha hotel dan restoran berdepan nasib yang tidak jelas.

Kini, amaran yang sama diberikan kepada resort El Nido di Pulau Palawan yang memiliki taburan pulau kecil di sekitarnya.

Jabatan Alam Sekitar negara itu pada Khamis bagaimanapun berkata, berbeza dengan pendekatan yang dibuat ke atas Boracay, aktiviti pelancongan di bahagian paling tercemar di El Nido akan dikurangkan sementara usaha pemuliharaan dijalankan.

Menurut Setiausaha Hal Ehwal Alam Sekitar Benny Antiporda, para pelancong dan penduduk tempatan tidak lagi dibenarkan berenang di dua kawasan di bandar El Nido, berikutan penemuan paras bakteria coliform yang tinggi di situ.

Bakteria coliform dalam punca air dan kawasan perairan di situ berpunca daripada najis manusia yang ‘terlepas’ dari sistem pembetung.

Aktiviti pelancongan di darat, dan jelajah pulau, bagaimanapun belum dikenakan sebarang arahan untuk dihentikan sepenuhnya.

“Jika anda menutup peluang kunjungan di beberapa tempat lain, aktiviti jelajah pulau yang menjadi nadi El Nido akan turut terjejas. Kami tidak mahu itu berlaku,” ujar Antiporda.

Buat masa ini, kerajaan sedang giat menjalankan kerja-kerja pembersihan di pantai, dan berikrar akan menutup operasi pengusaha pelancongan yang melanggar peraturan pengurusan sampah dan juga struktur binaan.