BIARPUN pandemik COVID-19 merupakan satu mimpi buruk, ia tidak menghalang dunia daripada terus berkarya secara kreatif.

Jika sebelum ini penunggang roller-coaster diminta menjerit dalam hati bagi mengelak penyebaran COVID-19, kini taman tema di Jepun itu menawarkan pula pelekat pelitup muka kepada pengunjung supaya mereka boleh “menjerit dengan senyap".

Memetik laporan SoraNews24, Taman Tema Greenland di Kumamoto menawarkan “pelekat menjerit" untuk pelitup muka yang direka supaya kelihatan seolah pemakainya sedang menjerit.





Pengunjung boleh memilih mana-mana daripada lima rekaan pelekat itu di pintu masuk sebelum menaiki roller-coaster.




Sebelum ini, pengunjung sebuah taman tema di Jepun diminta menjerit di dalam hati ketika menaiki roller-coaster bagi mengelak penyebaran COVID-19.

Pengendali taman tema Fuji-Q Highland membuat rayuan tersebut kerana bimbang penyebaran virus daripada titisan air liur ketika menjerit yang boleh meningkatkan penularan pandemik itu.


Setakat Isnin (3 Ogos), Jepun merekodkan 36,689 kes positif jangkitan COVID-19 dan 1,011 kes kematian.