MEMANG tidak dapat dinafikan, kumpulan ikonik K-pop, Bangtan Boys atau lebih dikenali sebagai BTS telah menjadi perhatian seluruh dunia sebaik mengumumkan kemunculan album ‘Map of the Soul: Persona’.

Bermula dengan jumlah pratempahan yang mendapat sambutan hangat daripada peminat, BTS mencatat satu lagi kejayaan sebagai kumpulan pertama yang mempunyai tiga album yang tersenarai di nombor satu dalam carta Billboard 200 dalam masa setahun.

Menurut Billboard, The Beatles merupakan kumpulan terakhir yang meraih jualan album terpantas dengan tiga siri album "Antologi" mereka, pada tahun 1995 dan 1996.

‘Map of the Soul: Persona’ yang dilancarkan pada 12 April lalu merupakan album ketiga kumpulan itu dalam 12 bulan lepas yang sekali gus menjadikan ia sebagai minggu kerjaya terbaik sepanjang perjalanan mereka dalam industri K-pop.

Sempena kebangkitan tujuh jejaka daripada kumpulan ini, Astro AWANI menyenaraikan tujuh pencapaian atau rekod yang telah diperolehi mereka:

1. 'Persona' telah menerima pratempahan album sebanyak 3,021,822 dari seluruh dunia yang hampir mencapai dua kali ganda jumlah dari pratempahan album sebelumnya 'Love Yourself: Answer'.

2. Muzik video lagu ‘Boy With Luv’ telah memegang rekod terpantas iaitu mencecah jumlah tontonan sebanyak 10 juta di YouTube dalam masa 2 jam dan 51 minit sahaja.

3. ‘Boy With Luv’ juga kini memegang rekod jumlah tontonan muzik video terbanyak dalam masa 24 jam, iaitu dengan sebanyak 74.6 juta.

4. Hasil daripada pelancaran album baharu, BTS menjadi artis Asia yang pertama untuk melepasi sebanyak lima bilion jumlah pengstriman melalui aplikasi strim muzik, Spotify.

5. ‘Boy With Luv’ berjaya mencapai takhta ‘’Perfect All-Kill 2019” iaitu berada di carta nombor satu bagi seluruh carta muzik di Korea Selatan.

6. Persona dinobatkan di carta pertama di Billboard 200, menjadikan ia rekod ketiga Billboard No.1 berikutan 'Love Yourself: Tear' and 'Love Yourself: Answer'. Ia menjadikan mereka setanding dengan The Beatles yang telah menduduki tangga nombor satu di Billboard 200 dalam setahun untuk tiga buah album yang berbeza.

7. BTS juga telah menjadi artis Korea pertama yang mempunyai lebih daripada satu lagu di carta ‘Billboard 100’ dalam satu masa, iaitu lagu ‘Boy With Luv’ di tangga ke-8 dan ‘Make It Right’yang berada di tangga ke-95.

Selain telah memenangi ramai hati peminat terutamanya BTS Army, banyak lagi pencapaian yang telah diperolehi kumpulan ternama BTS ini, dan ia pastinya tidak berakhir di sini.

Tahniah BTS!