Hampir dua minggu selepas taufan Haiyan membadai Filipina, mesin pengeluaran wang (ATM) mula beroperasi menyaksikan ratusan penduduk berbaris panjang bagi mendapatkan wang tunai.

Namun di bandar Tacloban hanya dua daripada 10 mesin ATM yang boleh digunakan.

Selain itu, kedai-kedai juga mula di buka membolehkan penduduk meneruskan rutin harian mereka.

Menurut penduduk, mesin ATM berkenaan diibaratkan sebagai penyambung nyawa kerana di saat- saat sukar sekarang mereka amat memerlukan wang tunai untuk membeli barangan keperluan seharian.

Dalam pada itu, jurucakap UNICEF menekankan kanak-kanak mangsa bencana itu memerlukan bantuan dari segenap aspek termasuk nutrisi makanan untuk kesihatan mereka.

UNICEF tambahnya, akan terus membantu mangsa bagi memastikan mereka mendapat bantuan sewajarnya.

Ribuan kanak-kanak menunggu giliran di lapangan terbang Tacloban untuk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.