Berita  | Dunia

'Sembako' bawa makna besar kepada mangsa tsunami

'Sembako' bawa makna besar kepada mangsa tsunami
Keadaan sekeliling yang menunjukkan sisa timbunan sampah dan robohan rumah terkumpul akibat dilanda Tsunami Selat Sunda di Taman Jaya 2, di Banten, 9 Jan, 2019. --fotoBERNAMA
BANTEN: 'Syukur dan terima kasih', itulah antara perkataan yang diucapkan oleh mangsa tsunami yang melanda Selat Sunda pada 22 Dis lepas, apabila sukarelawan Malaysia datang memberi bantuan kemanusiaan kepada mereka.

Ketika mereka dalam kesulitan mendapatkan sembako (barangan keperluan asas), apabila ditimpa bencana itu, ramai sukarelawan tidak putus-putus memberi bantuan kepada mereka.

Sembako merupakan bahasa tempatan yang merujuk kepada barangan seperti beras, gula, minyak masak, susu, daging dan telur ayam.

Setiap kali kereta atau van yang datang membawa masuk bantuan kemanusiaan ke Sumur mahupun Taman Jaya 2, kelihatan anak-anak kecil berlari-lari mengejar kenderaan untuk mendapatkan bantuan.

Ketibaan kami disambut dalam keadaan mereka yang sungguh menyedihkan - wajah yang comot, baju compang-camping dan selekeh.

Tidak dapat dibayangkan dengan kata-kata kerana keadaan mereka ini terlalu daif, sehinggakan wartawan Bernama yang membuat liputan di sini, selama enam hari turut berlinangan air mata dan merasai penderitaan mereka.

Sukarelawan GPM Malaysia dan Indonesia bergambar kenangan bersama murid-murid dan para guru Sekolah Dasar Negeri Taman Jaya 2 di Banten, Indonesia, dalam misi bantuan kemanusiaan. --fotoBERNAMA

Seorang daripada ribuan mangsa tsunami, Endang, 45, berkata dia amat terharu apabila sukarelawan Malaysia daripada Global Peace Mission (GPM) datang memberi bantuan sembako di sini.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada mereka (sukarelawan GPM) kerana memberi sembako dan kelengkapan baju sekolah kepada anak saya.
"Hanya Allah sahaja yang mampu membalas jasa kalian untuk apa (bantuan) yang diberikan kepada kami," katanya yang mempunyai dua anak lelaki berumur tujuh dan sembilan tahun itu.

BACA: Tsunami melanda Pantai Barat Anyer

BACA: 5 perkara tentang tsunami pantai Anyer 

Endang berkata dengan sembako dan kelengkapan sekolah yang diterimanya membolehkan kedua-dua anaknya kembali bersekolah dan amat menceriakan mereka.

Rumah Endang antara yang dihanyutkan dalam ombak deras tsunami yang jaraknya hanya 30 meter dari pinggiran pantai Sumur.

Selepas dua minggu lebih tsunami melanda Selat Sunda, di Banten, antara keperluan yang menjadi keutamaan mangsa adalah mendapatkan segera sumber air bersih dan khemah sementara, untuk dijadikan tempat berteduh bagi mangsa selepas kediaman mereka rosak teruk atau dihanyutkan air. --fotoBERNAMA

Seorang lagi mangsa yang merupakan nelayan, Dimitri berkata dia hanya mampu mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi atas bantuan yang diberi.

"Terima kasih pada sukarelawan Malaysia atas bantuan yang diberi. Segala kelengkapan persekolahan anak saya telah hilang dihanyutkan tsunami.

"Ketiga-tiga anak saya menangis dan teruja apabila menerima kelengkapan persekolahan ini. Mereka kembali bersemangat untuk ke sekolah," kata bapa kepada tiga anak perempuan berumur lapan, sembilan dan 11 tahun.

Rumah Dimitri di Taman Jaya 2, antara ribuan yang musnah dan hanya tinggal tiang rumah ketika badai tsunami menghempaskan ombaknya.

BACA: Tsunami Selat Sunda: Sistem amaran baru 'dibina tahun depan'

BACA: Rakyat Malaysia kongsi detik cemas tsunami Selat Sunda

Sabtu lepas, pasukan sukarelawan GPM membeli sembako dan kelengkapan persekolahan di Pasar Rau, di sini.

Ketua Misi GPM Malaysia Shahrir Azfar Saleh berkata kesemua bantuan persekolahan diberi kepada 108 murid sekolah rendah dan pihaknya turut membeli 60 helai set solat ekspres telekung wanita serta 120 pakaian dalam wanita.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian melalui talian www.billplz.com/peduliselatsunda atau deposit ke Bank Global Peace Mission di akaun Maybank Islamic (5642-2161-1602); Bank Islam (1402-30100-29224); dan Affin Islamic Bank (1051-9000-2871).

Lima orang terdiri daripada dua wakil GPM, wartawan Bernama Muhammad Afiq Mohd Asri, wartawan Bernama News Channel Siti Zanariah Nor Zin serta jurukamera Mohammad Hafiz Ahmad Kamal turut serta dalam misi kali ini.

BACA: Tular video dramatik persembahan Seventeen dibadai tsunami

BACA: 'Sebenarnya Allah mengirimkan tiga penyelamat' - Ifan Seventeen

Tsunami, yang melanda Selat Sunda pada 22 Dis lepas, berlaku ekoran pergerakan tanah di bawah dasar laut akibat letusan Gunung Anak Krakatau yang diikuti gombang air pasang serta gelombang kuat.

Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) melaporkan sehingga kini lebih 400 orang maut manakala 30,000 hilang tempat tinggal.

-- BERNAMA