Berita  | Dunia

Sembilan lelaki terlibat plot pengeboman di Bangkok dihukum penjara

Sembilan lelaki terlibat plot pengeboman di Bangkok dihukum penjara
Mahkamah Jenayah Thailand menjatuhkan hukuman ke atas sembilan daripada 14 lelaki selatan Thailand antara empat hingga enam tahun berikutan pembabitan mereka dalam kes cubaan mengebom beberapa lokasi di Bangkok dua tahun lepas.
BANGKOK: Sebuah mahkamah di sini menjatuhkan hukuman penjara antara empat hingga enam tahun terhadap sembilan lelaki dari selatan Thailand kerana terlibat dalam plot untuk mengebom tempat strategik di Bangkok dua tahun lalu dalam 'kes budu' seperti yang digelar oleh media tempatan.

Lima lagi lelaki yang menghadapi tuduhan yang sama dibebaskan setelah Mahkamah Jenayah membuat keputusan membatalkan tuduhan terhadap mereka.

Menurut mahkamah, lapan lelaki dijatuhi hukuman empat tahun penjara setelah didapati bersalah oleh Mahkamah Jenayah di bawah Seksyen 209 dan Seksyen 210 untuk pertuduhan yang berkaitan dengan Pertubuhan Rahsia dan Konspirasi.

Mahkamah menghukum seorang lagi lelaki selatan Thai enam tahun penjara selepas mendapati bersalah kerana memiliki bahan letupan yang dikenali sebagai "PETN" ketika dia ditangkap.
Kesemua 14 lelaki itu, berumur antara 20 hingga 31 tahun berasal dari wilayah Pattani, Narathiwat dan Yala di selatan Thailand. Keluarga mereka datang dari jauh di selatan Thailand ke Bangkok semata-mata untuk hadir semasa mahkamah membuat keputusan pada Selasa.

Bercakap kepada media selepas keputusan itu, peguam bagi defendan, Kitcha Ali-Ishoh berkata dia akan mengemukakan rayuan ke mahkamah dalam tempoh 30 hari sebagaimana yang ditetapkan oleh undang-undang.

Beliau berkata kelima-lima lelaki yang dilepaskan oleh mahkamah akan dibebaskan dari penjara Bangkok hari ini.

Dalam kes yang menarik perhatian meluas oleh media, kesemua lelaki selatan Thai itu ditangkap dalam satu siri serbuan oleh anggota polis dan tentera selepas pihak berkuasa mendakwa terdapat plot untuk mengebom beberapa sasaran di Bangkok termasuk Lapangan Terbang Suvarnabhumi.

Plot itu termasuk apa yang didakwa pihak berkuasa sebagai bom kereta serta beberapa siri pengeboman di selatan Thailand beberapa bulan sebelum ini.

Ketika salah satu serbuan di kawasan penduduk Islam di Ramkhamhaeng pihak berkuasa juga merampas beberapa botol budu daripada suspek.

Ekoran rampasan bahan makanan yang terkenal di kalangan rakyat selatan Thailand itu media tempatan menggelar kes penahanan 14 lelaki itu sebagai "kes budu".

-- BERNAMA