Sembilan pelajar dilaporkan maut dalam kebakaran di asrama sebuah sekolah menengah di selatan Uganda, awal pagi tadi.

Jurucakap polis, Patrick Onyango berkata, kesemua mangsa adalah pelajar lelaki sekolah menengah St. Bernard Maya yang terletak di daerah berhampiran sempadan Tanzania.

Menurutnya, kebakaran di sekolah dengan kira-kira 130 penuntut itu disyaki dimulakan oleh sekumpulan pelajar yang dikenakan tindakan buang sekolah akibat masalah disiplin, beberapa hari sebelum itu.

“Pelajar yang dibuang sekolah terbabit disyaki datang ke sekolah pada waktu tengah malam, dan menyebabkan kebakaran kerana marah akibat dihukum.

Sementara itu, beberapa pelajar yang cedera telah dihantar ke pusat kesihatan berhampiran, manakala siasatan akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kebakaran.