Meskipun berada dalam keadaan kesakitan, seorang gadis sempat merakam sebuah video lucu di akaun media sosial, TikTok yang memaparkan harmonika tersangkut di dalam mulutnya.

Mollie O'Brien pada mulanya ingin menghiburkan sepupunya dengan aksi tersebut, malangnya kejadian bertukar cemas apabila dia gagal mengeluarkan alat muzik itu.

Memetik laporan Daily Mail, pelajar sekolah tinggi Ontario, Kanada itu sempat merakam video lucu di akaun TikTok miliknya dengan latar belakang lagu I Just Did A Bad Thing dendangan Bill Wurtz.

Gadis itu turut menulis lirik pada video tersebut dan merakam beberapa bahagian wajahnya hingga membuatkan ramai yang tertanya-tanya.

"Saya baharu sahaja melakukan perkara yang tidak sepatutnya. Saya menyesal dengan yang telah dilakukan.

"Anda mungkin tertanya-tanya apa yang telah saya lakukan.

"Saya telah memasukkan keseluruhan harmonika ke dalam mulut dan kini ia tersekat," tulisnya sambil mendedahkan keseluruhan wajahnya.

Selepas 30 minit, O'Brien mula berasa sakit dan kebas di bahagian muka.

"Setiap kali saya bernafas, ia mengeluarkan bunyi bising. Saya sendiri sebenarnya tak tahu bagaimana ia (harmonika) boleh tersangkut," tulis gadis itu lagi.

Ibu O'Brien segera membawanya berjumpa doktor gigi bagi mengeluarkan harmonika itu dan dia dinasihatkan supaya tidak mengulangi perbuatan tersebut lagi.

Video berdurasi 15 saat itu kini mendapat lebih 1.7 juta tanda 'suka'.