Wakil rakyat Parti Republikan dalam Dewan Senat Amerika Syarikat meluluskan undang-undang percukaian yang akan menyaksikan potongan cukai yang besar kepada syarikat dan kumpulan berpendatan tinggi di Amerika Syarikat, menurut sumber termasuk Reuters dan BBC.

Ini bermakna kumpulan ini akan membayar cukai yang lebih rendah dari yang dibayar ketika ini.

Ini dijangka menjadi undang-undang pertama yang diluluskan dalam pentadbiran Presiden AS Donald Trump.

Di Dewan Senat, undang-undang percukaian baru itu yang bernilai USD1.5 trilion diluluskan dengan 51 undi menyokong dan 49 undi menolak.

Undang-undang baru ini akan kemudian digabungkan dengan versi yang diluluskan di Dewan Perwakilan pada bulan lepas.

Trump ingin undang-undang ini dikuatkuasakan bermula akhir tahun ini.

Kumpulan Demokrat di Kongres Amerika mendakwa undang-undang cukai yang baru itu hanya akan menjadikan golongan berpendapatan tinggi dan syarikat lebih kaya.

Golongan berpendapatan rendah dan sederhana akan manyaksikan kadar cukai mereka hampir tidak berubah.

Kumpulan Republikan mendakwa potongan cukai kepada golongan kaya dan syarikat akan merancakkan ekonomi AS dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.

Potongan cukai adalah antara isu utama dalam kempen setiap pilihanraya presiden AS.

Ia akan menentukan sama ada kumpulan berpendapatan rendah atau tinggi yang mendapat lebih potongan cukai.