Seorang kanak-kanak terbunuh dan sekurang-kurangnya 45 yang cedera apabila sebuah bas yang membawa pemain bola sepak dari Tennessee terbalik lalu berpusing-pusing lebih 10 pusingan sebelum terbabas ke bahu jalan di tengah Arkansas, lapor pihak berkuasa.

Polis, Nickalous Manning menjelaskan kanak-kanak yang meninggal dunia itu adalah murid tahun tiga namun enggan mendedahkan nama mangsa.

Siasatan awal polis Arkansas mendapati kebanyakan mangsa yang cedera adalah kanak-kanak dan dibawa ke hospital di Little Rock dan Benton untuk mendapatkan rawatan.

Damous Hailey yang merupakan mangsa dalam kemalangan itu berkata, bas itu membawa pemain pasukan daripada Persatuan Belia Jingga dan beberapa lagi pasukan lain.

Bas yang membawa pasukan bola sepak muda ini terbabas di kaki bukit.

Hailey memaklumkan bahawa dia duduk di belakang pemandu apabila bas itu membelok secara tiba-tiba lalu berpusing 15 hingga 20 kali sebelum terbabas di kaki bukit.

"Apabila bas itu berpusing, kanak-kanak mula menjerit dan kami cuma menenangkan mereka. Saya cuba memegang dengan kuat bagi memastikan tidak tercampak keluar," katanya yang mengalami kecederaan di bahagian kiri badan serta kaki.

The Associated Press mendedahkan wakil dan jurulatih pasukan itu gagal dihubungi.

Tiada maklumat telah dikeluarkan mengenai keadaan kecederaan itu selain punca kemalangan juga masih dalam siasatan.

Anggota polis dan pasukan menyelamat tiba di lokasi kejadian.