Seorang wartawan Mexico mati ditembak di negeri Veracruz, tenggara Mexico, dalam insiden keganasan di salah sebuah negara paling bahaya untuk pengamal media itu.

Pihak pendakwa raya negeri memberitahu, Leobardo Vazquez, yang bekerja untuk akhbar Enlace, ditembak mati pada Rabu malam di kediamannya di Gutierrez Zamora.

Vazquez yang juga menyara hidup dengan menjual taco, merupakan wartawan ketiga yang dibunuh di Mexico pada tahun ini. Pada tahun 2017, sejumlah 12 wartawan terkorban.

Kes pembunuhan di Mexico meningkat lebih daripada 25,000 pada tahun 2017, iaitu yang tertinggi sejak tahun 1997.

Sekumpulan wartawan membuat demonstrasi mendesak kes pembunuhan Vasquez mendapat keadilan. - Reuters

Semua itu terjadi apabila kartel dadah yang saling bersaing semakin berpecah dan menjadi kumpulan-kumpulan kecil yang tamakkan kuasa, selepas sedekad mereka berdepan dengan kempen pembanterasan yang diketuai tentera.

Peningkatan kes keganasan telah menjejaskan populariti Presiden Enrique Pena Nieto, sekali gus menyumbang kepada sokongan terhadap calon presiden Andres Manuel Lopez Obrador yang berhaluan kiri, yang semakin berpengaruh menjelang pilihan raya pada Julai.

Empat daripada 12 wartawan yang terkorban pada tahun lalu dibunuh di Veracruz.

Kumpulan penegak kebebasan bersuara, Article 19, dalam satu laporan terkini mendedahkan bahawa Mexico adalah negara paling bahaya untuk pengamal media di Amerika Latin.