Seorang wanita maut manakala 30 yang lain cedera apabila dua butir bom meletup di tengah-tengah bandar Pattani lewat malam tadi, menurut Polis Thailand.

Ketua Polis Daerah Muang Kol Kirati Waeyusoh berkata serangan bom pertama berlaku di tempat letak kereta di sebuah pusat hiburan pada 11 malam (waktu tempatan) manakala serangan kedua berlaku di hadapan sebuah hotel.

"Letupan bom kedua berlaku di pintu masuk Hotel Southern View tidak lama selepas kejadian pertama dan telah menyebabkan kebakaran besar. Letupan disebabkan bom buatan sendiri seberat 100kg dipasang di dalam sebuah kereta," katanya hari ini.

Beliau berkata anggota bomba mengambil masa kira-kira 30 minit untuk memadamkan kebakaran yang berlaku susulan daripada letupan bom kedua itu, yang turut menyebabkan kerosakan besar pada premis perniagaan berhampiran.

Menurut Kirati, sebutir lagi bom buatan sendiri meletup di daerah Nongchik di wilayah Pattani pada 12 tengah malam tetapi tidak menyebabkan sebarang kematian dan kecederaan.

Pihak polis masih menyiasat motif kejadian dan mereka yang bertanggungjawab terhadap kejadian letupan bom itu, selain menganggarkan jumlah kerugian akibat kejadian itu, katanya.