Seorang terbunuh manakala 26 yang lain, termasuk kanak-kanak, dilaporkan cedera pada Rabu, selepas sebuah stor penyimpanan bunga api meletup di Barat Laut Sepanyol.

Bagaimanapun, Reuters memetik akhbar Faro de Vigo melaporkan, sekurang-kurangnya empat orang maut dalam letupan itu walaupun Perkhidmatan Kecemasan hanya mengesahkan satu kematian

Perkhidmatan Kecemasan di Wilayah Galicia melaporkan, stor tersebut yang terletak di bandar Tui, kira-kira 30km di selatan Vigo, meletup kira-kira pukul 5 petang waktu tempatan.

Letupan kuat tersebut turut merosakkan sebahagian rumah yang berada berdekatan stor penyimpanan tersebut.

Punca letupan dan jumlah kerugian akibat kemusnahan tersebut masih belum dikenalpasti.

Rakaman video menunjukkan asap tebal menyelubungi sebahagian besar lokasi letupan dengan serpihan bertaburan di kawasan sekitar.

Menurut Datuk Bandar Tui Carlos Vazquez, ia bukan sebuah kawasan penyimpanan komersial dan pihaknya tidak tahu menahu mengenai kewujudan stor penyimpanan tersebut di situ.