Sepanyol mengatasi Itali daripada segi jumlah kes positif koronavirus buat kali pertama pada Jumaat.

Sebanyak 117,710 kes disahkan di Sepanyol, menjadikannya negara kedua paling banyak kes jangkitan COVID-19 selepas Amerika Syarikat (AS).

Angka kematian di Sepanyol kini berada pada 10,935, di tempat kedua selepas Itali dengan 13,915 kematian.

Namun angka kematian pada Jumaat seramai 932 mangsa dilihat sedikit menurun berbanding hari sebelumnya sebanyak 950.

"Peningkatan jumlah kes hari ini ialah 7 peratus, yang mana mengesahkan trend penurunan yang sedang dipantau," kata Maria Jose Rallo, Timbalan Ketua jabatan kecemasan kesihatan.

Sementara itu, Perdana Menteri Pedro Sanchez telah mengarahkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan, antara yang paling ketat di Eropah.

Hanya pekerja dalam sektor penting seperti kesihatan dibenarkan keluar ke tempat kerja manakala restoran, bar dan kedai diarah tutup.

Selain itu, perhimpunan awam juga dilarang sama sekali.

Warga Sepanyol telah menjalani perintah kawalan pergerakan sejak 14 Mac dan bakal berakhir pada 12 April.

Kerajaan bagaimanapun sedang mempertimbang melanjutkan tempoh tersebut.