Sepanyol mendenda Putera Belgium, Putera Joachim, sebanyak 10,400 euro (RM50,203) kerana melanggar peraturan kuarantin bulan lalu semasa berada di negara itu.

Putera itu yang merupakan anak saudara Raja Belgium, Raja Philippe, tiba di selatan Sepanyol dari Belgium pada 24 Mei untuk menjalani latihan praktikal industri atau internship.

Beliau didenda kerana gagal mengikut peraturan untuk mengkuarantin dirinya selama 14 hari sebaik tiba, yang merupakan syarat utama bagi sesiapa yang memasuki negara tersebut, kata jurucakap kerajaan Sepanyol kepada Reuters.

Joachim, 28 tahun, mengaku melanggar syarat kuarantin itu, dan diberikan tempoh 15 hari untuk membayar denda tersebut.

Putera itu, yang merupakan kesepuluh dalam perwarisan takhta Belgium, diuji positif COVID-19 selepas menghadiri satu parti di Cordoba, dua hari selepas ketibaannya.

Beliau kini menjalani kuarantin di Sepanyol.

Pihak berkuasa Sepanyol juga sedang menyiasat parti berkenaan yang melanggar perintah berkurung di Cordoba, di mana perhimpunan melebihi 15 orang tidak dibenarkan.