Rusia bakal mengusir diplomat United Kingdom dari negara itu selepas Britain mengusir 23 diplomatnya sebagai balasan terhadap dakwaan serangan agen saraf ke atas bekas ejen'dua muka' di selatan England 4 Mac lalu.

Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov berkata tindakan bakal diambil segera sebagai tindak balas negara itu terhadap tindakan Britain itu.

"Sebagai orang yang mementingkan budi bahasa, kami mahu menyampaikan jawapan kepada Britain terlebih dahulu," katanya kepada media hari ini.

Perdana Menteri Britain, Theresa May, tsebelum ini elah menuduh Rusia bertanggungjawab dalam insiden pembunuhan terhadap ejen Skripal dan anak perempuannya. Beliau turut menuduh 23 diplomat Rusia di Britain sebagai agen risikan yang tidak didaftarkan.

Menurut Kremlin, Moscow akan mengambil tindakan terhadap tuduhan May. Jurucakap Presiden Vladimir Putin berkata urusan tindak balas akan dilakukan oleh pihak Kementerian Luar dan agensi-agensi terlibat dan bergantung kepada keputusan dibuat Putin sendiri.

Jelasnya tuduhan Britain adalah 'tidak masuk akal' dan menganggap Britain mengeluarkan kenyataan terlalu awal sebelum siasatan dapat dilengkapkan terutamanya mengenai racun yang digunakan untuk membunuh Skripal.

Pada Khamis, jurucakap Kementerian Luar Rusia, Maria Zakharova, menuduh Britain tidak mahu bekerja sama dengan pihak Rusia kerana tidak berkongsi sebarang bukti dalam kes Skripal dan membuat pelbagai tuduhan tidak berasas.

Ketua Pertahanan UK, Gavin Williamson, pula pada hari yang sama memberitahu bahawa serangan agen saraf terhadap Skripal merupakan contoh terbuka mengenai kegiatan Rusia yang sentiasa 'mengoyakkan buku panduan undang-undang antarabangsa'.

Williamson turut mengumumkan pembinaan sebuah fasiliti penyelidikan senjata kimia baru di Britain untuk menangani 'ancaman keselamatan' dari negara luar seperti Rusia.

Jelasnya fasiliti dengan kos sebanyak 48 juta pound itu akan memastikan Britain sentiasa berada di hadapan dalam analisis kimia dan pertahanan. Sementara itu, ribuan askar Britain akan diberi vaksinasi Anthrax bagi mendepani ancaman kimia, bilogikal, radiologikal dan nuklear yang dianggap semakin merbahaya.

Ahad lalu, bekas ejen Rusia, Sergei Skripal dan anak perempuannya Yulia ditemui tidak sedarkan diri di sebuah bangku berhampiran kediaman mereka. Mereka dihantar ke sebuah hospital tempatan dalam keadaan kritikal tetapi stabil.

Ketua Konstabel Polis Wiltshire, Kier Pritchard berkata, kira-kira 21 orang turut dirawat susulan insiden itu.