RAKYAT di beberapa buah negara termasuk Malaysia masih menunjukkan minat untuk berhijrah dan bekerja di New Zealand walaupun selepas kejadian berdarah di Christchurch 15 Mac lalu yang mengorbankan 50 umat Islam dan mencederakan puluhan yang lain.

Malah, Jabatan Imigresen New Zealand (INZ) mendedahkan pihaknya menerima jumlah permohonan di luar jangkaan, iaitu 6,457 antara 15 hingga 24 Mac, berbanding 4,844 pada 10 hari sebelumnya, sekali gus menunjukkan peningkatan 33 peratus.

Pengurus Besar INZ, Peter Elms berkata, warga Amerika Syarikat antara yang paling ramai membuat permohonan, iaitu 1,165 berbanding 674 sebelum ini, sekali gus mencatat kenaikan sebanyak 72 peratus.

Britain dan Afrika Selatan muncul negara kedua dan ketiga berbanding 10 hari sebelum serangan itu berlaku.

Britain merekod 753 permohonan berbanding 505, dengan peningkatan 49 peratus.

Dalam pada itu, negara-negara Islam turut tidak ketinggalan, antaranya Pakistan dengan 333 permohonan.

Umat Islam di New Zealand mendapat pembelaan yang tidak dijangka terutamanya daripada Perdana Menteri, Jacinda Ardern dan seluruh warga negara itu yang menunjukkan sokongan dan perpaduan selepas tragedi hitam berkenaan.

Malayia merekod 165 permohonan, Bangladesh (82), Indonesia (63), Mesir (56) Turki (59) dan Maghribi (66).

Menurut Elms, kesemua permohonan itu adalah untuk berhijrah terus ke New Zealand dan bukan permohonan visa.


Sehingga Isnin, lalu, pihaknya telah meluluskan 174 visa kepada kaum keluarga mangsa yang mahu berkunjung ke New Zealand dan hampir semua kelulusan itu dibuat dalam masa 24 jam dan tiada satu pun yang ditolak.

Sehingga kini, INZ telah menerima sembilan permohonan daripada kaum keluarga mangsa untuk melanjutkan tempoh visa mereka dan semua telah diluluskan.

“Kerajaan New Zealand kini sedang mempertimbangkan untuk memberi hak penduduk tetap kepada semua mangsa dalam serangan itu dan akan membuat pengumuman berhubung perkara itu pada satu masa yang sesuai nanti,” katanya.