“Jika saya berada di tempat kejadian, saya akan meluru untuk menyelamatkan mereka, walaupun saya tidak bersenjata,” tegas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump ketika mengimbas kembali insiden tembakan rambang yang meragut 17 nyawa di sebuah sekolah di Florida, 15 Februari lepas.

Katanya lagi, keberanian itu akan timbul secara spontan kerana apa yang penting adalah untuk menyelamatkan mereka daripada terkorban.

Beliau mengungkapkan kenyataan demikian ketika mengadakan pertemuan yang disiarkan secara langsung di kaca televisyen bersama gabenor-gabenor negeri dari seluruh Amerika Syarikat, di White House.

BACA: 17 maut dalam kejadian tembakan rambang di Florida

Dalam insiden itu, majoriti yang maut merupakan pelajar Marjory Stoneman Douglas High School, Parkland.

Ketika perbualan itu berlangsung, Trump turut menempelak timbalan-timbalan sherif Florida, dengan menganggap tindakan mereka yang gagal memberi respon yang bersesuaian bagi menghalang kejadian itu berlaku sebagai menjijikkan dan memalukan.

“Sewajarnya kesemua mereka itu bukan penerima Pingat Kepujian (Medal of Honors),” katanya lagi.