Polis United Kingdom pada Selasa menamakan suspek ketiga dalam insiden yang meragut tujuh nyawa dalam satu serangan di London, Sabtu lalu.

Suspek dikenali sebagai Youssef Zaghba, warga Itali berusia 22 tahun dan berada dalam senarai ‘individu merbahaya’ yang dikeluarkan pihak berkuasa Britain selepas dia berpindah ke London, tahun lalu.

Seorang peguam Itali mendakwa Zaghba, yang berdarah keturunan Maghribi dan Itali, pernah ditahan di Lapangan Terbang Bologna pada tahun 2016 kerana disyaki dalam perjalanan ke Syria, dan dilaporkan memberitahu polis yang dia mahu menjadi pengganas.

Itali, bagaimanapun berkata peguam itu tidak mempunyai maklumat lanjut mengenai Zaghba, namun telah menghantar amaran kepada Britain.

Serangan berkenaan mendedahkan beberapa isu dalam kempen politik untuk pemilihan parlimen pada Khamis, dengan kedua-dua Parti Konservatif dan Parti Buruh bertelagah mengenai isu keselamatan.

Perdana Menteri Theresa May berkata dia akan berusaha untuk mengubah hak perlindungan asasi manusia yang menyukarkan proses buang negeri atau menahan individu yang disyaki militan apabila terdapat kekurangan bukti untuk mendakwa mereka.

Salah seorang daripada penyerang, Khuram Butt, dikenali dalam kalangan pihak berkuasa keselamatan dan berpotensi untuk menjadi bahaya, namun serangan pada Sabtu mendedahkan kemungkinan pihak berkuasa gagal mendapatkan maklumat lebih awal dan tepat.

Butt, warganegara Britain berumur 27 tahun dan dilahirkan di Pakistan, telah muncul dalam siaran rencana TV Britain tahun lepas, "The Jihadis Next Door".

Selain Butt, seorang lagi suspek adalah warga Libya, Rachid Redouane, 30 tahun.

Seramai tujuh orang maut dalam serangan rempuhan van dan tikaman pada malam Sabtu, sementara 48 yang lain cedera.

Polis berjaya menembak mati tiga suspek lelaki, yang menggunakan van sewa untuk merempuh pejalan kaki di London Bridge, sebelum menyerang orang ramai di Borough Market dengan pisau.