Seorang pelampau berhaluan kanan, Luca Traini, 28 tahun, yang mengamuk dan menembak secara rambang terhadap warga Afrika di Itali masih ditahan untuk siasatan.

Menurut polis Itali, tindakan lelaki tersebut yang mengamuk dan mencederakan enam warga Afrika itu adalah dalam keadaan sedar dan dipengaruhi oleh sikap perkauman yang melampau.

Luca telah melakukan beberapa siri serangan di sekitar bandar Macerata.

BACA: Enam cedera dalam insiden tembakan rambang di Itali

Rakaman kamera litar tertutup juga menunjukkan dia telah melakukan serangan di sebuah bar.

Rakaman itu menunjukkan sebuah kereta yang dipercayai dinaiki oleh Luca berhenti di hadapan bar tersebut sebelum beberapa das tembakan dilepaskan.

Menurut laporan, mangsa yang cedera dalam insiden amukan Luca berusia di antara 22 dan 33 tahun dan berasal dari Ghana, Gambia, Nigeria dan Mali.