Penembak kulit putih yang melancarkan serangan maut di dua masjid di Christchurch Jumaat lalu, dilapor memecat peguam yang ditugaskan mewakilinya.

Brenton Tarrant, 28 tahun, dilapor mahu membela dirinya sendiri di mahkamah, dan keputusan tersebut menimbulkan kebimbangan dia mungkin akan menjadikan perbicaraan itu sebagai platform memperjuang kepercayaannya.

Peguam bertugas yang mewakili Tarrant di mahkamah Sabtu lalu, Richard Peters mengesahkan kepada akhbar Herald bahawa penembak warga Australia berkenaan mahu mewakili dirinya sendiri dalam perbicaraan kelak.

Setakat ini, Tarrant berdepan satu tuduhan membunuh susulan serangan di Masjid Al Noor dan Masjid Linwood yang mengorbankan 50 nyawa dan mencederakan puluhan yang lain.

Namun, dia dijangka bakal berdepan banyak lagi tuduhan apabila dihadapkan semula ke mahkamah pada 5 April depan.