Susulan serangan pengganas di pusat peranginan di pantai Tunisia yang membunuh hampir 40 orang.

Kumpulan militan IS mengaku bertanggungjawab dengan insiden itu yang disifatkan paling buruk dalam sejarah Tunisia selepas hampir 40 orang khususnya pelancong asing terbunuh.

Dalam satu kenyataan menerusi Twitter, wakil IS berkata, lelaki bersenjata itu, yang dikenal pasti sebagai Abu Yahya al-Qayrawani merupakan "askar khalifa" yang mensasarkan musuh kumpulan militan berkenaan.

Selain itu, kata wakil kumpulan IS lagi, serangan juga bermatlamat mahu menghapuskan sarang maksiat di Pelabuhan el Kantaoui di Tunisia.

Majoriti mangsa berasal dari negara yang membentuk "pakatan tentera salib yang melawan negeri khalifah", kata kumpulan itu dengan merujuk kepada negara Britain dan Perancis.

Sekurang-kurangya lima warga Britain disahkan terbunuh dalam serangan di Sousse, Tunisia itu.

Sementara itu, IS berkata, serangan disasarkan ke atas “sarang-sarang zina, maksiat dan murtad di bandar Sousse" dan telah dijalankan "walaupun langkah-langkah keselamatan diperhebat di serata kawasan sepanjang pantai Kantaoui".

Insiden keganasan di lokasi peranginan popular Mediterranean itu, yang terletak di 140 kilometer ke selatan ibu negara Tunisia, meragut 39 nyawa manakala berpuluh-puluh lagi cedera.

Serangan tersebut merupakan yang kedua menimpa pelancong asing di Tunisia tahun ini.

Pada Mac lalu, serangan di Muzium Bardo di Tunis membunuh 22 orang, sekali gus menjejaskan industri pelancongan, yang menjadi nadi ekonomi di Tunisia.

IS turut mengaku mendalangi serangan berkenaan.

Tunisia berdepan peningkatan indeks keganasan oleh kumpulan pelampau sejak pemberontakan meletus pada 2011 yang menyaksikan penggulingan kerajaan dan mencetuskan permulaan Arab Spring di Asia Barat.