Serpihan terakhir pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 kini dalam perjalanan dari Ukraine ke Amsterdam.

Serpihan tersebut akan dibawa oleh konvoi trak ke Pengkalan Udara Gilze-Rijen di Belanda untuk meneruskan siasatan mengenai punca nahas.

“Semua serpihan yang disimpan kini sedang dalam perjalanan dari Kharkiv ke Belanda. Konvoi yang pertama dijangka tiba di Pengkalan Udara Gilze-Rijen dalam minggu ini. Ahli-ahli keluarga mangsa akan berada di sana apabila konvoi tersebut tiba,” kata Anneke Bovens, wakil Majlis Keselamatan Belanda.

“Lembaga Keselamatan Belanda kemudian akan mulakan siasatan di atas serpihan-serpihan untuk membina semula sebahagian daripada pesawat itu bagi mengenalpasti punca nahas,” tambahnya.


MH17
Beberapa trak membawa serpihan pesawat MAS MH17 berhenti di sebuah tempat berehat di lebuhraya A2 berdekatan dengan Hanover di Jerman tengah pada 8 Dis 2014. Konvoi trak tersebut dijangka tiba di Belanda pada 9 Dis. - Foto AFP/DPA/Julian Stratenschulte


Pengumpulan serpihan tersebut telah mengambil masa empat bulan selepas pesawat MAS itu ditembak jatuh di kawasan yang ditawan pemberontak di Timur Ukraine.

Kelewatan disebabkan situasi tegang melibatkan pasukan keselamatan kerajaan Ukraine dan pemberontak pro-rusia.

Kedua-dua pihak menuduh satu sama lain bertanggungjawab atas insiden yang mengorbankan 298 nyawa pada bulan Julai lalu itu.