PERAYAAN Aidiladha yang bakal tiba pada penghujung Julai membawa makna besar bagi penduduk di Yaman kerana kehadiran bulan itu umpama memberi sedikit harapan buat mereka untuk merasai nikmat juadah daging.

Namun, bagi penduduk di Yaman, Asma Ahmed, keingingan untuk membeli dan merasa daging dilihat sebagai satu impian yang sukar untuk dikecap.

“Kami tahu daging mengandungi protein yang bagus untuk kesihatan dan tumbesaran badan.

“Kami hanya dapat makan daging sekali dalam setahun iaitu ketika hari raya Aidiladha. Itu pun jika kami terpilih sebagai penerima manfaat sumbangan daging qurban pada tahun tersebut,” ujar Asma menerusi perkongsian yang dibuat oleh Islamic Relief Malaysia menerusi Facebook pada Jumaat.

Asma yang merupakan anak sulung daripada empat beradik berkata, meskipun sumbangan daging yang diperolehi begitu sedikit, namun ia cukup untuk melahirkan nikmat syukur tidak terhingga buat mereka yang diuji di Yaman.

“Ayah saya seorang guru manakala ibu saya pula bekerja sebagai juruterapi. Namun, disebabkan konflik berpanjangan di Yaman, sudah hampir setahun ayah saya tidak memperoleh gaji.

“Perbelanjaan harian kami terpaksa ditanggung oleh ibu. Dan seringkali terjadi, kami tiada wang untuk membeli makanan hingga terpaksa mengikat perut,” kata Asma penuh sayu.

Berdasarkan maklumat Relief Web pada tahun 2019, 24.1 juta penduduk Yaman memerlukan bantuan kemanusiaan manakala 14.4 juta lagi memerlukan bantuan perlindungan.

Yaman adalah negara Arab termiskin. Jutaan rakyat terpaksa menjadi pelarian di negara sendiri serta berdepan ancaman kebuluran.

Tambah Asma, hidupnya sangat susah yang mana sehingga mereka tiada wang untuk membeli makanan dan sewa rumah juga sudah lama tertunggak.

“Mujur tuan rumah sangat baik hati dan masih membenarkan kami tinggal di rumah ini. Jika tidak, kami sendiri tidak tahu ke mana kami hendak mencari tempat berteduh,” jelas Asma penuh rasa sayu.

Asma pernah ditimpa kemalangan sewaktu berusia tujuh tahun hingga mengakibatkan kecederaan pada kakinya dan menjadikan dia tidak boleh berjalan secara normal.

“Ayah saya pernah membawa saya ke Al-Tahadi centre iaitu pusat rawatan khas untuk merawat kaki saya. Di situlah saya mula mengenali Islamic Relief. Ketika itu, Islamic Relief sedang mengagihkan sumbangan daging qurban kepada para pesakit.

“Kebanyakan penduduk di Yaman, tidak mampu untuk membeli daging atas faktor kewangan. Keadaan ekonomi yang teruk ekoran peperangan yang berlaku menjadikan harga barangan melambung tinggi dan menjadi tidak terkawal.

Asma juga menambah bahawa disebabkan faktor itu juga, ramai rakyat di situ hilang pekerjaan dan sumber pendapatan.

“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Islamic Relief atas sokongan dan sumbangan yang diberikan kepada kami di sini.

“Terima kasih kerana tidak melupakan kewujudan kami di tengah-tengah konflik perbalahan yang berlaku. Saya doakan semoga anda semua yang terlibat dalam membantu kami sentiasa dipermudahkan urusan dan diredhai Allah selalu.

“Terima kasih kerana menceriakan kami sekeluarga dengan sumbangan anda. Alhamdulillah,” ucap Asma Ahmed.