Seekor harimau Siberia di zoo Hungary terpaksa menjalani rawatan sel stem memandangkan itu merupakan satu-satunya cara untuk memastikannya pulih dari kesakitan pinggul dan membolehkannya hidup secara normal.

Rawatan yang dijalankan ke atas harimau bernama Igor itu juga bertujuan mengurangkan kebergantungannya kepada ubat-ubatan.

Igor yang berusia 13 tahun hidup di zoo di bandar Szeged, di selatan negara itu. Selama ini, pasukan pemerhati dan penjaga menyedari bahawa haiwan itu menderita sakit dibahagian sendi pinggulnya.

Igor yang sudah dibius dibaringkan di atas sebuah meja sewaktu pembedahan dijalankan. - Reuters

Rawatan tersebut, yang lazimnya dijalankan pada manusia, memulihkan sendi yang cedera menggunakan sel tisu yang diambil dari tisu lemak pesakit itu sendiri. Sel tisu tersebut yang mengandungi sel stem pertumbuhan disuntik semula ke bahagian sendi yang sakit.

“Kelebihan rawatan ini adalah kita boleh menambah baik kualiti hidup pesakit yang tidak boleh mendapat keputusan serupa menerusi pembedahan biasa dan mengambil ubat-ubatan sahaja,” ujar doktor haiwan, Robert Gippert.

Tambahnya, sama seperti manusia, sendi Igor yang sakit itu boleh bertambah baik disebabkan kesan pemulihan dan pertumbuhan semula sel stem, tanpa menggunakan material luaran.

Harimau yang telah dibius itu dibaringkan di atas sebuah meja pembedahan, dengan tapak kakinya menjulur keluar dari bawah selimut.

Sejurus ia sedar, pasukan perubatan memerlukan tempoh masa antara dua hingga tiga minggu sebelum boleh menilai perubahan dalam pergerakannya.