Setem pos untuk memperingati ulang tahun perkahwinan ke-70, Ratu Elizabeth dan suaminya Putera Philip akan dijual di seluruh Britain pada Isnin, menurut Royal Mail, lapor agensi berita China Xinhua.

Selain gambar perkahwinan pasangan diraja itu pada 1947 di Westminster Abbey, setem berkenaan juga menampilkan gambar pertunangan serta berbulan madu.

Set setem berkenaan telah menerima kelulusan Istana Buckingham, kata Royal Mail.

Perkahwinan Ratu Elizabeth dan suaminya Putera Philip, ketika itu adalah acara diraja yang pertama selepas tamatnya Perang Dunia II, dengan orang ramai mengunjungi Istana St James untuk melihat pameran sejumlah 2,500 hadiah untuk pasangan tersebut.

Jurucakap Royal Mail, Philip Parker, berkata, "Ulang tahun perkahwinan platinum jarang berlaku, dan untuk keluarga diraja ia merupakan sesuatu yang unik."

"Kami gembira dapat mengeluarkan enam setem untuk menandakan ulang tahun perkahwinan ke-70 pasangan diraja tersebut," katanya.

Istana Buckingham mengesahkan Ratu Elizabeth dan suaminya Putera Philip akan meraikan saat indah itu dengan acara peribadi, dan menikmati makan malam bersama keluarga di Windsor Castle pada petang Isnin.

Mulai pukul 1 petang waktu tempatan pada Isnin, loceng di Westminster Abbey akan dibunyikan.

Ratu Elizabeth dan Putera Philip, merupakan pasangan diraja yang usia perkahwinan terpanjang dalam sejarah.

Pada musim luruh tahun ini, Putera Philip mengumumkan bersara daripada tugas rasmi sementara Ratu Elizabeth, 91, menjadi raja paling lama memerintah dalam sejarah Britain iaitu selama 65 tahun, dan paling lama hidup.

-- BERNAMA