Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, pada Khamis menjadi pemimpin asing pertama yang membuat lawatan rasmi bertemu Presiden Amerika Syarikat (AS) yang baru dipilih, Donald Trump.

Abe yang kini sibuk menyusun barisan Kabinet baharunya yang terdiri daripada penyokong kuat dan pesaingnya, sempat terbang ke New York untuk bertemu taikun hartanah bilionair tersebut di salah sebuah bangunan milik Trump di Manhattan.

Abe yang menjawab soalan media tentang pertemuan itu berkata, Trump merupakan seorang ‘pemimpin yang sangat beliau percayai’, sambal menambah pertemuan itu berlangsung dalam ‘suasana mesra’.

Jepun adalah antara sekutu terdekat Washington namun Trump meresahkan penggubal dasar Tokyo sewaktu kempen politiknya.

Trump pernah bercakap tentang menarik balik ribuan anggota tenteranya dari rantau tersebut selain mencadangkan Jepun memerlukan senajata nuklear.

Trump juga berikrar untuk membatalkan Perjanjian Trans-Pasifik (TPPA), sebuah perjanjian perdagangan yang disokong Presiden Barack Obama, yang meletakkan Abe dalam keutamaan.

Abe antara lain sepatutnya membincangkan isu seperti keselamatan dan perdagangan dalam pertemuan dengan Trump. Namun pengurus kempen Trump, Kellyanne Conway mengatakan bahawa sebarang rundingan mendalam tentang dasar dan hubungan antara Jepun dan AS perlu dibuat selepas Trump memulakan tugas di White House secara rasmi.

Obama, yang tidak mengkritik penggantinya sejak berakhirnya pilihan raya AS lalu, sedang berada di Berlin sebagai pelengkap kepada lawatan rasmi ke Eropah.

Pemerhati menyifatkan Obama mahu melepaskan ‘obor’ pejuang demokrasi liberal kepada Canselor Jerman, Angela Merkel.