Perdana Menteri Shinzo Abe berjaya memenangi undi terbanyak kepemimpinan parti pemerintah, Liberal Democratic Party, yang meletakkan beliau pada posisi kuat menjadi pemimpin Jepun paling lama berkuasa.

Kejayaan pada Khamis itu turut merealisasikan impiannya untuk membuat pembaharuan perlembagaan.

Pada pemilihan kali ini, Abe, 63 tahun, berjaya memperoleh 553 undi berbanding 254 yang dimenangi bekas menteri pertahanan, Shigeru Ishiba.

Kemenangan itu memberi peluang kepada Abe, yang menjadi Perdana Menteri sejak Disember 2012, untuk memerintah Jepun tiga tahun lagi.

Ia juga memberi peluang kepada beliau untuk memecah rekod Taro Katsura, seorang ahli politik dihormati yang pernah berkhidmat sebagai pemimpin negara itu tiga kali, di antara 1901 dan 1913.