Raja Vajiralongkorn mewarisi takhta Thailand berikutan kematian bapanya Bhumibol Adulyadej pada 13 Oktober 2016 selepas mendiang memerintah negara itu selama 70 tahun.

Raja Vajiralongkorn merupakan anak kedua daripada empat anak mendiang Raja Bhumibol dan Permaisuri Sirikit.

Beliau merupakan anak lelaki tunggal dan menjadi Putera Mahkota pada 1972, pada usia 20 tahun. Kini beliau berusia 66 tahun.

Vajiralongkorn, dikenali sebagai Raja Rama X dalam Dinasti Chakri, sudah berada di takhta secara tidak langsung selama lebih dua tahun sejak bapanya tidak sihat sebelum kemudiannya meninggal dunia.

Selepas bapanya meninggal, Vajiralongkorn tidak mengambil alih jawatan secara serta merta kerana mahu diberi masa untuk berkabung bersama rakyat Thai.

Tetapi Vajiralongkorn menaiki takhta pada malam 1 Disember 2016 selepas menerima undangan rasmi daripada parlimen Thailand dengan syarat hanya akan ditabalkan selepas bapanya dikebumikan.

Semasa remaja, beliau banyak menghabiskan masa berada sama ada di Jerman atau Australia.

Itu tidak menghairankan kerana beliau menamatkan pengajian di Kolej Tentera Diraja Duntroon, Canberra, Australia.

Malah, beliau turut mendapat latihan ketenteraan di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia sehingga menjadi juruterbang jet tentera yang bertauliah dan juruterbang helicopter.

Sering dilabel lelaki yang nakal, Vajiralongkorn, telah beberapa kali mendirikan rumah tangga.

Beliau mengahwini Puteri Soamsavali Kitiyakara, juga sepupu sebelah ibunya pada 3 Januari 1977 dan mendapat seorang anak perempuan.

Vajiralongkorn sekali lagi mendirikan rumah tangga pada 29 April 2005 dengan Mom Srirasmi Mahidol Na Ayuthaya, seorang rakyat biasa.

Beliau membuat kejutan pada Rabu lepas apabila mengahwini seorang bekas pramugari, Suthida sebelum menganugerahkan wanita berpangkat jeneral itu gelaran permaisuri.

BACA: Thailand isytihar Suthida sebagai Permaisuri



Di sebalik kecaman dalam kehidupan peribadi Vajiralongkorn, beliau mendapat banyak sokongan dalam tentera, sama seperti bapanya sebelum ini.

“Raja baharu Thailand ini sangat tegas orang, beliau juga sangat berani, tidak seperti bapanya.

“Berbanding bapanya yang sedikit pendiam, beliau bukan seperti itu, kerana seorang yang pandai bersosial. Beliau tahu jika sesiapa yang menipu beliau dan sebagainya. Bagaimanapun, beliau tetap seorang yang sangat bertimbang rasa,” kata pengkritik social Sulak Sibaraksa.


Kini, Thailand di era baharu pentadbirannya, rakyat mengalu-alukan seorang raja yang boleh disandarkan menjadi simbol keamanan, kestabilan dan kemakmuran.

Antara cabaran yang perlu ditanganinya ialah pasca pilihan raya 14 Mac lepas, di mana seorang perdana menteri akan dipilih selain memastikan pembentukan kerajaan baharu nanti kukuh lagi stabil.

Walaupun raja tidak campur tangan dalam hal ehwal politik domestik, perkenan beliau amat penting dalam memastikan kestabilan sistem amalan demokrasi Thailand.

Thailand yang dikuasai tentera, beberapa kali menyaksikan rampasan kuasa menyingkirkan kepimpinan yang ada pada ketika itu.

Kali terakhir ialah pada 2014, yang dipimpin Jeneral Prayut Chan O-cha, menjatuhkan bekas perdana menteri, Yingluck Shinawatra.

Prayut disebut-sebut akan menjadi Perdana Menteri Thailand selepas pilihan raya diadakan.