HARGA runtuh yang ditawarkan rangkaian pasaraya Perancis ke atas sapuan coklat berasaskan kacang hazel, Nutella, menyebabkan beberapa adegan ganas antara pembeli pada Khamis.

Pasaraya Intermarche menawarkan diskaun sehingga 70 peratus sebotol, yang menjadikan harga terkini sapuan coklat tersebut kepada RM6.70 (€1.40) berbanding harga asalnya pada RM21 (€4.50).

Pihak polis terpaksa masuk campur apabila berlaku pergaduhan antara pembeli.

"Mereka bergaduh seperti haiwan. Seorang wanita ditarik rambutnya, seorang warga emas dihentak dengan kotak di kepala dan seorang lagi mangsa mengalami kecederaan di tangan sehingga berdarah,"menurut laporan media tempatan.

Pergaduhan tersebut cuba dileraikan pekerja pasaraya namun usaha mereka tidak berhasil, lapor portal berita Le Progres.

"Kami cuba leraikan pergaduhan tersebut tetapi akhirnya kami ditolak," kata pekerja pasaraya tersebut.

Stok pasaraya tersebut habis dalam masa 15 minit selepas dibuka dan seorang pembeli lebam di matanya, lapor portal itu lagi.



365 juta kilo Nutella dimakan setiap tahun di lebih 160 negara seluruh dunia.

Nutella mula dihasilkan oleh keluarga Ferrero pada 1940 di Wilayah Piedmont, Itali yang terkenal dengan kacang hazel.

Syarikat pengeluar sapuan coklat itu berkata ia kesal dengan kejadian ganas pada Khamis itu, namun harga runtuh tersebut telah dipersetujui oleh Intermarche.