Berita  | Dunia

Siasatan, kajian terhadap Boeing 737 MAX bermula 29 April - FAA

Siasatan, kajian terhadap Boeing 737 MAX bermula 29 April - FAA
Siasatan dan kajian semula terhadap pesawat Boeing 737 MAX akan dilakukan bermula 29 April ini. -Gambar fail
WASHINGTON: Siasatan dan kajian semula terhadap pesawat Boeing 737 MAX akan dilakukan bermula 29 April ini, kata Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) pada Jumaat.

Menurut FAA, pihaknya akan membentuk pasukan antarabangsa merangkumi sembilan pengawal selia penerbangan lain dari seluruh dunia untuk mengkaji semula keselamatan pesawat berkenaan

Sebelum ini, Boeing telah mengumumkan mengenai kemas kini perisian yang dirancang pada 737 MAX untuk mengelak data salah yang boleh mencetuskan sistem antipegun yang dikenali sebagai MCAS.

Bagaimanapun, Boeing masih belum lagi menyerahkan perisian tersebut kepada FAA untuk kelulusan rasmi.
Tambah FAA, antara negara yang mengambil bahagian dalam kajian semula ini ialah China, Agensi Keselamatan Penerbangan Eropah, Kanada, Brazil, Australia, Jepun, Indonesia, Singapura dan Emiriyah Arab Bersatu.

Kajian itu akan dipengerusikan oleh bekas Pengerusi Lembaga Pengangkutan Keselamatan Nasional Chris Hart dan terdiri daripada satu pasukan pakar dari FAA, NASA dan pihak berkuasa penerbangan antarabangsa.

Kumpulan itu akan menjalankan kajian komprehensif mengenai pensijilan sistem kawalan penerbangan automatik pesawat.

Kenyataan itu susulan tragedi yang menimpa pesawat Ethiopian Airlines yang terhempas ketika dalam penerbangan dari Addis Ababa ke Nairobi pada Ahad dan mengorbankan kesemua 157 penumpang dan kru.

Nahas ini juga merupakan tragedi kedua melibatkan pesawat jenis Boeing 737 Max 8 dalam tempoh lima bulan selepas pesawat syarikat penerbangan tambang murah Lion Air terhempas Oktober lalu mengorbankan kesemua 189 penumpang dan anak kapalnya.

Beberapa negara dan syarikat penerbangan telah menggantung perkhidmatan pesawat Boeing 737 MAX 8, antaranya Malaysia, Amerika Syarikat, Australia, China, Singapura dan Indonesia.

BACA: Negara mana yang telah gantung pesawat Boeing 737 MAX 8?

BACA: Malaysia gantung serta-merta operasi pesawat Boeing 737 MAX