Malaysia berpendapat sidang kemuncak antara pemimpin Korea Utara dan Amerika Syarikat (AS) pada Selasa ini akan membantu mengurangkan ketegangan di dunia sebelah sini, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata ia juga akan menyumbang ke arah menambah baik hubungan antara negara-negara Asia Timur seperti Jepun, China serta Korea Utara dan Korea Selatan.

"Kami menyambut baik peluang bagi Barat bertemu dengan pemimpin Korea Utara itu. Apa jua peluang untuk mengadakan perjumpaan adalah sesuatu yang baik untuk dunia. Ia jauh lebih baik daripada berkonfrontasi," kata beliau semasa sesi dialog anjuran Japan National Press Club di sini, pada Isnin.

Dr Mahathir sedang melakukan lawatan kerja dua hari ke Jepun.

Sidang Kemuncak 'damai nuklear' antara Presiden AS Donald Trump dan pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, antara lain, bertujuan melihat Korea Utara menyahkan program nuklearnya dan sebagai ganjarannya, memperoleh kebebasan ekonomi dan jaminan keselamatan.

Dr Mahathir berkata ada orang yang berpendapat bahawa pemimpin Korea Utara itu tidak tulus dengan mereka meragui perubahan sikapnya secara radikal.

"Sama ada ia radikal atau tidak, ia merupakan suatu peluang untuk berhubung dan semua hubungan manusia yang mempunyai konflik antara satu sama lain adalah sesuatu yang patut kita alu-alukan," kata Dr Mahathir, yang sebelum itu menghadiri Persidangan Antarabangsa Ke-14 mengenai Masa Depan Asia atau Persidangan Nikkei di ibu negara Jepun ini.

Sidang kemuncak 'damai nuklear' itu akan berlangsung di Capella Hotel, yang terletak di Pulau Sentosa, Singapura.

Pada Persidangan Nikkei, Dr Mahathir berkata AS dan China tidak sepatutnya menjadikan Asia Tenggara medan pertandingan antara dua kuasa besar itu.

"Kami mahu jumlah kapal perang dikurangkan di Asia Tenggara - di Laut China Selatan dan di Selat Melaka. Kami telah menjaga kawasan itu sebelum ini, tak ada masalah," kata beliau.

Dr Mahathir berkata dengan pengurangan jumlah kapal perang di perairan itu, ia bermakna kurang persaingan dan kurang ketegangan.

"Idea untuk membincangkan dan menyelesaikan masalah melalui dialog dan rundingan adalah jauh lebih bermanfaat (sebagai cara menyelesaikan perselisihan)," kata beliau.