Angka kematian dalam kejadian letupan selepas silinder gas meletup di sebuah restoran yang sesak berhampiran Bhopal di negeri Madya Pradesh mencecah 82 orang dan hampir 100 yang lain mengalami
kecederaan serius.

Menurut pegawai kanan polis, bahan gelatin yang digunakan dalam perlombongan yang disimpan di dalam sebuah rumah, bersebelahan restoran itu, meningkatkan lagi letupan berkenaan.

Kesan letupan itu menyebabkan bangunan dua tingkat yang menempatkan restoran itu runtuh dan beberapa bangunan bersebelahan rosak, memetik laporan saluran berita tempatan NDTV.

Letupan di restoran itu yang terletak di kawasan perumahan berhampiran perhentian bas di Petlawad, lebih 300km dari ibu negeri itu berlaku pada 9 pagi tadi.

Jumlah kematian meningkat selepas anggota penyelamat menemui lebih banyak mayat di bawah runtuhan restoran dan bangunan sekitarnya.

Daripada jumlah mangsa yang cedera, dipercayai 20 orang dalam keadaan kritikal.

"Restoran itu terletak di kawasan padat dan ketika itu ramai yang sedang bersarapan, sebab itu jumlah kematian tinggi," kata pegawai kanan polis daerah Seema Alava kepada saluran berita berkenaan.

Pegawai polis daerah lain berkata jumlah mangsa yang terkorban tinggi kerana kedudukan restoran itu berhampiran perhentian bas yang sibuk.

Dalam mesej di Twitter, Perdana Menteri India Narendra Modi berkata beliau "amat berdukacita atas kehilangan nyawa dalam letupan silinder gas di Jhabua.

Saya menzahirkan ucapan takziah dan simpati yang mendalam kepada keluarga si mati."