SINGAPORE Airlines (SIA) membatalkan rancangannya menawarkan ‘penerbangan tanpa hala tuju’ selepas mengkaji semula pelbagai faktor temasuk kesan kepada alam sekitar dan kemampuan kewangan.

Sebaliknya, untuk masa terhad, SIA akan menawarkan pengalaman menjamu selera di atas kapal terbang A380, melawat fasiliti latihannya dan menghantar makanan kelas pertama dan kelas perniagaannya ke rumah pelanggan.

Keputusan itu dibuat hanya selepas dua minggu SIA mengumumkan akan melancarkan konsep penerbangan unik itu yang pada awalnya dijangka mula beroperasi pada Oktober ini.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan syarikat penerbangan itu, keputusan itu hadir tatkala SIA berdepan dengan cabaran yang belum pernah ditempuhi sebelum ini dan semuanya angkara COVID-19, lapor Channel News Asia.

SIA Group pertama kali melaporkan kerugian bersih tahunan sejak 48 tahun lepas pada bulan Mei dan mengatakan bakal mengurangkan kira-kira 4,300 jawatan, menjejaskan kira-kira 2,400 kakitangan.

Selasa lepas, syarikat itu berkata, tiga inisiatif baru yang dicadangkan itu adalah hasil kajian dalam pasaran dan tinjauan komprehensif serta mempertimbangkan beberapa faktor lain.

“Idea untuk penerbangan tanpa hala tuju, penerbangan tempoh singkat itu juga pada awalnya dipertimbangkan dalam kajian itu tetapi tidak diteruskan selepas diteliti,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif SIA, Goh Choon Phong berkata, penerbangan konsep baru itu mendapat banyak permintaan daripada pelanggan sejak beberapa minggu lepas.

“Dengan COVID-19 mengurangkan jumlah penerbangan dengan drastik, kami melaksanakan beberapa aktiviti unik bagi membolehkan kami berinteraksi dengan pelanggan,” katanya.

Singapore Airlines bukanlah syarikat penerbangan pertama yang menawarkan penerbangan sebegitu.

Syarikat penerbangan swasta Jepun, Nippon Airways turut menawarkan penerbangan tanpa hala tuju itu menggunakan pesawat A380 miliknya.

Turut menawarkan perkhidmatan sama ialah syarikat penerbangan swasta Taiwan yang menggunakan pesawat Hello Kitty.

Penerbangan berkenaan mendapat sambutan menggalakkan kerana ia turut memberikan rasa keterujaan orang ramai untuk terbang semula.