SINGAPURA mengambil langkah memperketat perintah kawalan pergerakan di negara itu selama sebulan bermula minggu hadapan.

Perdana Menterinya, Lee Hsien Loong, menerusi pengumuman yang disiarkan secara langsung pada Jumaat memaklumkan langkah itu adalah bagi membendung penularan COVID-19 yang kian meningkat di republik itu.

"Keadaan masih terkawal. Tetapi pemerintah bimbang sekiranya kes baharu terus meningkat, mungkin kemudian bilangan kes akan melonjak dengan tinggi.

"Oleh itu, kami telah memutuskan untuk melaksanakan langkah berjaga-jaga yang lebih ketat, selama sebulan.

"Kami akan menutup sebahagian besar tempat kerja, sekolah dan prasekolah. Tetapi perkhidmatan penting seperti pasar dan pasar raya, tempat makan, dan pengangkutan awam akan terus dibuka," jelasnya.

Bagi sektor utama di negara itu seperti pasar raya, klinik, hospital, utiliti dan perbankan akan terus beroperasi.

Namun langkah penjarakan sosial masih perlu diterapkan dan jika sekiranya kerja mereka dapat dilakukan di rumah, mereka dinasihati untuk bekerja dari rumah.

Langkah ini akan dikuatckuasa bermula Selasa minggu hadapan.

Dalam pada itu, Lee turut mengumumkan akan menutup sekolah dan pusat pra-sekolah.

BACA: Kuarantin cara Singapura, layanan lima bintang perangi virus korona


BACA: COVID-19: Singapura catat kematian kelima

Bagi memastikan pelajar-pelajar di negara itu masih mendapat pendidikan yang diperlukan, Kementerian Pendidikan negara itu akan bekerjasama dengan pihak sekolah untuk melaksanakan pembelajaran sepenuhnya di rumah bermula Rabu depan.

Langkah ketiga yang diperketatkan adalah sebarang majlis yang menghimpunkan orang ramai adalah tidak dibenarkan dan orang ramai dinasihatkan untuk terus duduk di rumah.

BACA: 70 wanita hamil warga Malaysia dibawa pulang dari Singapura

"Sebelum ini kami pernah katakan bahawa orang ramai boleh berkumpul, asalkan tidak melebihi 10 orang. Tetapi sekarang, kami mahu anda duduk di rumah jika boleh, dan elakkan daripada bergaul selain daripada lingkungan keluarga anda sendiri.

"Saya tahu ini suatu yang sangat susah untuk dilakukan, kerana kita semua mahukan teman dan berhubung dengan orang lain, serta berbual and beramah bersama rakan-rakan dan saudara-mara kita.

"Tetapi saya harap anda boleh bersabar dengan apa yang kita harus laksanakan, dan patuhi peraturan demi keselamatan anda sendiri dan kita semua," jelasnya.

Terdahulu, Singapura mengumumkan beberapa langkah bagi membendung penularan COVID-19 termasuk penjarakan sosial, menutup bar dan pawagam serta melarang sebarang acara sambutan.

BACA: Penjara, denda jika langgar peraturan penjarakan sosial di Singapura