Pengguna perkhidmatan basikal sewa yang sengaja meninggalkan basikal sesuka hati selepas digunakan, akan digantung akses sewaan seterusnya, lapor portal berita Channel NewsAsia.

Tindakan tegas itu diambil pihak berkuasa Singapura untuk memberi pengajaran kepada pengguna yang ditangkap melakukan kesalahan itu sebanyak tiga kali setahun.

Mereka yang dikenakan tindakan tersebut tidak lagi dapat menaiki kenderaan itu untuk satu tempoh tertentu.

Menurut Menteri Kanan Pengangkutan Singapura Dr Lam Pin Min, kebanyakan pengguna di republik itu bertanggungjawab dalam meletakkan basikal sewa di tempat parkir yang disediakan.

“Bagaimanapun, terdapat pengguna basikal kongsi yang tidak berbuat demikian. Jadi amat penting untuk memastikan mereka menjadi lebih bertanggungjawab," katanya dalam ucapan di Parlimen.

Peraturan berkenaan dikuat kuasa sebagai sebahagian syarat pelesenan bagi pengendali perkhidmatan basikal sewa dan kenderaan mudah alih peribadi di bawah Akta Tempat Letak Kenderaan (Pindaan) yang diluluskan di Parlimen pada hari Selasa.

Akta berkenaan juga menyasarkan pengguna yang meletakkan basikal secara sembarangan di samping menetapkan pengawalseliaan bagi pengendali basikal sewa bagi menangani isu basikal kongsi yang diletakkan di tempat yang tidak sepatutnya.

Bagi tujuan mengenal pasti dan menghukum pengguna yang melakukan kesalahan, pengendali perkhidmatan sewa basikal akan diminta membekalkan data pengguna kepada Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat (LTA).

Itu termasuk data lokasi basikal itu ditinggalkan, supaya LTA dapat menjejaki individu yang melakukan kesalahan seterusnya melaksanakan hukuman.

Setakat ini, terdapat lebih daripada 100,000 basikal sewa di Singapura, menurut menteri berkenaan.