Singapura telah mula membekalkan tambahan air minum kepada Johor berikutan permintaan segera oleh Badan Kawalselia Air Johor (BAKAJ), Channel NewsAsia melaporkan.

Memetik Lembaga Kemudahan Awam (PUB), portal berita itu berkata BAKAJ meminta untuk tambahan bekalan 6 juta gelen air bersih sehari untuk tempoh tiga hari akan datang.

Laporan itu berkata air tersebut yang diperlukan untuk menstabilkan sistem bekalannya di Johor Bahru selepas penutupan Loji Rawatan Air di Johor pada Rabu disebabkan pencemaran di Sungai Johor.

"PUB bersedia memenuhi permintaan segera ini dan mula membekalkan tambahan bekalan air yang dirawat kepada Johor sejak 17 Julai. Bekalan tambahan ini akan diteruskan dalam tempoh tiga hari akan datang."

Laporan itu berkata pengguna di Singapura tidak terjejas dalam apa jua cara kerana ia mampu meningkatkan pengeluaran tempatan dalam tempoh yang singkat.

"PUB Singapura berhak mendapatkan bekalan 250 mgd air mentah dari Sungai Johor di bawah Perjanjian Air 1992 dengan Malaysia.

Hak ini dijamin melalui Perjanjian Pemisahan 1965 dan berakhir pada 2061. Perjanjian Air 1989 juga mewajibkan PUB menjual 5 mgd air bersih kepada Johor. Secara amalan, PUB telah membekalkan kepada Johor tiga kali daripada jumlah ini sehingga 16 mgd setiap hari."

Permintaan terbaharu bagi 6 mgd ialah tambahan bagi 15 hingga 16 mgd yang dibekalkan kepada Johor setiap hari, PUB dipetik sebagai berkata.