Singapura kini mempunyai akta baharu yang membolehkannya menutup sementara komunikasi dan menyekat orang ramai daripada menghantar filem atau gambar dan menyampaikan mesej secara teks atau audio mengenai operasi penguatkuasaan undang-undang dalam sesuatu "situasi yang serius."

Parlimen Singapura pada Rabu meluluskan Rang Undang-undang Ketenteraman Awam dan Keselamatan (Kuasa-kuasa Khas) 2018 atau Rang Undang-Undang POSSP pada bacaan kali kedua.

Di Parlimen, Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Menteri Kedua bagi Hal Ehwal Dalam Negeri dan Menteri Kedua bagi Tenaga Kerja, Josephine Teo, berkata kuasa untuk menangani impak teknologi moden ialah satu daripada peruntukan baharu yang diperkenalkan di bawah Akta POSSP (POSSPA).

Teo berkata set pertama peruntukan adalah berkaitan dengan teknologi baharu yang boleh membahayakan keselamatan awam dan pasukan keselamatan.

Beliau berkata 60 tahun yang lalu, apabila Akta Ketenteraman Awam (Pemeliharaan) digubah, terdapat hanya telefon melalui talian.

"Hari ini, kita mempunyai telefon pintar, internet, saluran berita TV 24 jam dan dron. Semua orang yang memiliki telefon pintar boleh menyiarkan, dan kebanyakan mereka berbuat demikian dengan sasaran penonton yang lebih ramai daripada saluran media biasa.

"Walaupun teknologi moden sedemikian merupakan satu rahmat tetapi ia juga boleh menimbulkan masalah bagi polis," kata beliau.

Teo menarik perhatian bahawa contoh yang jelas ialah apabila ia boleh menjejaskan operasi Polis semasa sesuatu operasi taktikal yang sensitif seperti operasi menyelamatkan tebusan.

"Polis mempunyai unsur kejutan terhadap pelaku jenayah supaya mereka tidak mula mengapa-apakan mangsa sementara menunggu tindak balas polis atau mempersiapkan diri untuk menghalang tindaklan polis.

"Pelan terbaik polis boleh digagalkan oleh tweet atau 'livestream' media sosial. Tetapi undang-undang sedai ada, seperti Akta Ketenteraman Awam, mungkin tidak membenarkan Polis untuk menangani risiko sedemikian dengan berkesan," kata beliau.

Oleh itu, POSSPA mempunyai kuasa-kuasa khas, untuk mengurangkan risiko operasi mereka dikompromi oleh komunikasi yang tidak dibenarkan, kata beliau.

POSSPA memberi kuasa kepada Pesuruhjaya Polis untuk mengeluarkan Perintah Sekat Komunikasi (CSO).

CSO bukan putus perhubungan sepanjang sesuatu insiden berlaku tetapi ia tertumpu kepada lokasi khusus dan terbatas dalam durasi.

-- BERNAMA