SINGAPURA:Singapura menghentikan sementara penggunaan dua vaksin influenza selepas dua individu yang menerima vaksin SKYCellflu Quadrivalent dan VaxigripTetra meninggal dunia di Korea Selatan, baru-baru ini.

The Straits Times melaporkan tindakan itu diambil Kementerian Kesihatan Singapura sebagai langkah pencegahan walaupun setakat ini tiada kematian dilaporkan di negara itu akibat pengambilan dua vaksin berkenaan.

Kementerian Kesihatan Korea Selatan baru-baru ini mendedahkan mangsa yang meninggal dunia itu diberikan vaksin influenza daripada tujuh jenama berlainan.   

Dua daripada jenama yang didedahkan itu boleh didapati di Singapura.

SKYCellflu Quadrivalent dihasilkan oleh syarikat SK Bioscience dan diedarkan oleh AJ Biologics sementara VaxigripTetra pula dikeluarkan oleh Sanofi Pasteur dan diesdarkan untuk pasaran tempatan menerusi Sanofi Aventis.

Namun demikian vaksin-vaksin daripada jenama lain yang digunakan untuk influenza masih lagi dibenarkan untuk berada di pasaran Singapura.

"Seperti ubat-ubatan lain, vaksin juga mempunyai kesan sampingan seperti sakit dan boleh menyebabkan kemerahan di tempat suntikan, demam, sakit kepala, sakit otot, keletihan dan sebagainya.

"Kesan sampingan ini selalunya ringan dan akan hilang sendiri.

"Pun begitu, dalam kes yang jarang-jarang berlaku, seseorang mungkin mengalami demam tinggi sebagai reaksi alergi yang teruk seperti kesukaran bernafas, dan bengkak di sekitar mata yang memerlukan rawatan segera," lapor akhbar tersebut.

Kementerian Kesihatan Singapura sentiasa memantau keselamatan penggunaan vaksin menerusi badan profesional kesihatan tempatan dan antarabangsa.