Pihak berkuasa keselamatan Thailand menolak kemungkinan siri pengeboman di wilayah Satun dan Phatthalung di Selatan Thailand pada hari Sabtu dan Ahad lepas bermotifkan politik.

Timbalan Perdana Menteri Thailand Jen Prawit Wongsuwan berkata tahap keselamatan yang ketat di Narathiwat, Pattani dan Yala di selatan Thailand mungkin menjadi punca yang memaksa mereka yang terlibat meletupkan bom berkenaan di Satun dan Phattalung.

"Kami telah menghantar pasukan keselamatan dan mengambil pelbagai langkah bagi mengekalkan keamanan di kawasan berkenaan (Narathiwat, Pattani dan Yala). Itu sebabnya mereka melancarkan serangan di luar kawasan ini.. saya rasa ia bukan bermotifkan politik," katanya kepada pemberita, di sini, pada Isnin.

Prawit yang juga Menteri Pertahanan Thailand pada Isnin melawat wilayah Satun dan Phatthalung bersama dengan beberapa petugas kanan pasukan keselamatan Thailand.

Beliau berkata beberapa suspek ditahan, dan mereka didapati daripada kumpulan sama yang mempunyai kaitan dengan keganasan di tiga wilayah di selatan, di Narathiwat, Pattani dan Yala.

Sementara itu media tempatan pada Isnin melaporkan bahawa suspek serangan itu telah dikenal pasti menerusi rakaman CCTV, dan semua mereka adalah aktivis pemberontak yang dikehendaki polis di selatan negara.

Sekurang-kurangnya 10 letupan menggegarkan beberapa tempat di wilayah Phatthalung dan Satun di selatan Thailand pada Sabtu dan Ahad lepas, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan insiden itu hanya mengakibatkan kerosakan kepada beberapa bangunan dan kenderaan sahaja.

-- BERNAMA