Ketegangan tercetus antara polis Thai dan kumpulan pengikut Buddha yang sangat berkuasa pada minggu ini berikutan waran tangkap yang dikeluarkan dalam skandal melibatkan berjuta-juta dolar.

Kontroversi itu melingkari pihak pengurusan kuil Dhammakaya yang terkenal dengan pengaruh dan ritual besar-besaran para penganutnya, lapor AFP.

Perkembangan terbaru itu membimbangkan keseluruhan rakyat di negara yang lebih 90 peratus populasinya patuh kepada kepercayaan tersebut.

Sebelum ini terdapat pemimpin agama Buddha negara itu yang terpalit kontroversi, antaranya dakwaan menerima hadiah kereta mewah yang tidak diisytihar, habuan seks dan skandal dadah.

Golongan pengkritik menyatakan bahawa semua itu terjadi memandangkan Kuil Dhammakaya mempunyai kaitan rapat dengan bekas perdana menteri berstatus hartawan yang juga penuh kontroversi, Thaksin Shinawatra.

Mereka mendakwa pihak kuil mahu mendominasi kepercayaan rakyat Thai melalui ajaran teologi kemakmuran, iaitu dengan menyatakan setiap sumbangan akan dibalas dengan karma yang baik.

Mahkamah Thailand pada Selasa mengeluarkan waran tangkap ke atas Phra Dhammachayo, yang dikehendaki polis berikutan dakwaan ketua agama itu menerima derma yang salah di sisi undang-undang bernilai 1.2 bilion Baht (RM135.5 juta), yang diseleweng daripada bank koperasi.

Kuil yang dikenali dengan seni bina hebat dan berciri futuristik di utara Bangkok, menafikan dakwaan itu serta memberi alasan ketua agama berusia 72 tahun itu terlalu uzur untuk bertemu pihak berkuasa.

Begitupun, banyak pihak mula khuatir sekiranya pihak polis berkeras untuk mendapatkan Dhammachayo, sedangkan sebelum ini para pengikutnya di kuil itu begitu berani berdepan pihak berkuasa walaupun angkatan tentera Thai.

Pada April lalu, Kuil Dhammakaya memulangkan kira-kira AS$20 juta (RM80.4 juta) milik seorang eksekutif syarikat yang kemudiannya menghadapi pertuduhan melakukan penyelewengan.